ALOR SETAR – Seorang wanita warga emas yang mengalami masalah penglihatan hanya mampu berdoa apabila terperangkap di tingkat atas rumahnya dalam kejadian banjir kilat sedalam dua meter di Kampung Kotan, Pokok Sena dekat sini pada semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Halijah Taib, 76, sempat naik ke tingkat atas selepas mendengar bunyi arus deras air masuk ke dalam rumahnya.
Menurut Halijah, ketika kejadian dia tinggal berseorangan di rumah kerana anak dan cucunya keluar ke bandar untuk membeli barang.
“Saya mula rasa tidak sedap hati apabila hujan terlalu lebat dalam tempoh masa agak lama pada petang itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, dia terus bergegas naik ke tingkat atas sebaik sahaja mendengar bunyi air masuk ke dalam rumah.
“Saya duduk di tingkat atas selama kira-kira sejam. Anak ada hubungi dan meminta saya tunggu di situ sehingga anggota bomba datang menyelamatkan saya,” ujarnya.
Tambahnya, dia hanya mampu berdoa dan bersyukur apabila anggota bomba tiba dan membawanya ke tempat selamat. – K! ONLINE