PETALING JAYA – Pasangan selebriti Datuk Fizz Fairuz dan isteri, Datin Almy Nadia tidak bersetuju dan menolak cadangan kerajaan untuk memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak seperti yang diputuskan baru-baru ini.
Ujar Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 36, dia tidak mahu mengambil risiko apabila anak-anaknya dijadikan bahan uji kaji kerana tahu ‘kesakitan’ yang akan dialami mereka selepas disuntik vaksin.
“Wahai kerajaan, anak-anak saya bukan bahan uji kaji anda semua. Tolong ambil perhatian. Cukup kami yang dewasa ini kena (cucuk) vaksin pun sakit. Ya, tahu dos dikurangkan untuk kanak-kanak. Tapi masih sakit.
“Maaf saya beremosi tentang perkara ini. Anak-anak saya bukan bahan uji kaji anda wahai kerajaan,” kata Almy.
Ujar pelakon yang pernah membintangi drama Cinta Buat Emelda itu lagi, sebagai ibu yang melahirkan anak-anaknya, dia menolak dan tidak membenarkan cahaya matanya dijadikan bahan uji kaji kerana bimbang jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.
“Jika terjadi benda yang tak diingini, adakah kerajaan akan bertanggungjawab? Sudah tentunya tidak! Anda semua tolong ambil perhatian.
“Anak-anak saya sudah cukup divaksin sejak bayi sehingga berumur dua tahun. Sekarang kami ambil vaksin tambahan untuk influenza dan macam-macam lagi untuk antibodi anak-anak kuat. Saya ibu mengandung yang dah cukup dua dos Pfizer, saya tahu sakitnya bagaimana,” jelas Almy.
Sementara itu, suaminya berpendapat bahawa pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dilihat tidak bersesuaian kerana kesannya yang terlalu kuat untuk mereka.
“Pada pendapat saya, belum sesuai lagi (kanak-kanak disuntik vaksin). Sebab kesannya terlalu kuat untuk kanak-kanak.
“Walaupun telah dikurangkan kandungannya (dos), tetapi tetap memberikan kesan terhadap kanak-kanak. Orang dewasa pun tak tahan, inikan pula kanak-kanak,” tulisnya.
Justeru, Fizz berharap pihak kerajaan memikirkan semula cadangan tersebut demi keselamatan dan kesihatan kanak-kanak.
Terdahulu, selain Almy dan Fizz, penyanyi dan juga usahawan Mila Jirin melahirkan rasa tidak bersetuju dengan rancangan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi menjalankan ujian klinikal vaksin Covid-19 Sinovac terhadap kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun.
Perkara itu rentetan daripada pengumuman kerajaan pada 26 Oktober lalu yang memberitahu Malaysia terpilih bagi menjalankan kajian klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19 Sinovac keluaran syarikat China dengan sasaran kanak-kanak bawah usia 12 tahun.
Kajian klinikal Fasa 3 itu bermula akhir bulan ini di 10 lokasi, meliputi lapan kemudahan bawah Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). – K! ONLINE