SEREMBAN – Tujuh samseng jalanan yang mempamerkan aksi berbahaya serta bersaing sesama sendiri berjaya ditangkap polis dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar daerah ini bermula pukul 11.00 malam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, Ops berkenaan telah dilakukan di Jalan Persiaran Senawang 1, di sini.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, tujuh individu bersama tujuh buah kenderaan yang dipandu telah ditahan kerana memandu secara melulu, merbahaya dan bersaing sesama sendiri serta berulang-alik bermula dari arah lampu isyarat Taman Matahari Heights menghala ke arah lampu isyarat Sri Pagi, Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban pada awal pagi ini.
“Polis telah berjaya menahan empat lelaki berusia 26 hingga 27 tahun bersama empat buah kenderaan yang dipandu mereka.
“Keempat- empat individu terbabit yang bekerja dalam sektor swasta ditahan selepas melakukan aksi memandu kenderaan secara bersaing sesama sendiri serta memotong secara zig zag terhadap kenderaan lain yang menggunakan jalan berkenaan sebanyak lima pusingan bermula dari lampu isyarat Taman Matahari Heights menghala ke arah lampu isyarat Sri Pagi Senawang dan berpatah semula ke arah lampu isyarat Taman Matahari Heights,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shafiei berkata, tiga lagi lelaki berusia 24 hingga 29 tahun yang bekerja dalam sektor swasta bersama tiga buah kenderaan yang dipandu mereksa turut berjaya ditahan di lokasi sama.
Menurutnya, kesemuanya ditahan selepas melakukan aksi yang sama iaitu memandu kenderaan secara bersaing sesama sendiri serta memotong secara zig zag terhadap kenderaan lain yang menggunakan jalan berkenaan sebanyak dua pusingan
“Kesemua individu yang di tahan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk tindakan lanjut. Permohonan reman akan dibuat hari ini dan kesemuanya akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15, 000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun,” katanya. – K! ONLINE