fbpx

Saya panas baran, suami pula pendiam – Ummi Nazeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMMI NAZEERA

KERJA lakonan pelakon berkulit hitam manis itu tidak pernah mengecewakan penonton. Antara yang diingati adalah wataknya sebagai gadis kampung bernama Sarah dalam drama bersiri popular, Nur Kasih sehingga meninggalkan ‘kebencian’ ramai peminat terhadap dirinya.

Persembahan cemerlangnya disusuli pula dengan drama Patahnya Sebelah Sayap memegang karakter wanita teraniaya bernama Alisha. Biarpun memegang watak baik-baik, karakter itu tetap meninggalkan rasa geram dalam kalangan penonton dek kerana sifatnya yang lurus bendul sehingga dipijak-pijak karakter antagonis.

Seperkara yang menjadi tarikan, lakonan Ummi seringkali meninggalkan kesan emosi mendalam ke jiwa penonton tanpa perlu beraksi sehingga membeliakkan mata atau timbul urat leher bagi menghidupkan sesuatu watak.

TAHUN berganti, Ummi masih ampuh selaku pelakon yang berkaliber setiap kali muncul dengan naskhah lakonan baik drama mahupun filem.

Sudah 16 tahun Ummi dalam industri, dia ketika ditemui Pose baru-baru ini bersyukur masih diingati sebagai pelakon, biarpun kelibatnya tidaklah serancak dengan nama-nama lain yang sering muncul dengan naskhah drama mahupun filem.

Barangkali, statusnya kini yang sudah bergelar isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata menjadi sedikit kekangan buatnya mengejar banyak tawaran.

Bagi Ummi, biarlah keberadaannya dalam industri hari ini bertahan disebabkan bakat dan bukan hal-hal berbaur sensasi atau kontroversi.

Tak gila viral

Bukannya tidak pernah tersangkut dengan ‘isu panas’ suatu ketika dahulu, tetapi Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 31, akui dia kini cuba mengelak daripada terjebak dengan cerita panas bagi menjaga hati banyak pihak.

“Saya juga pernah ada kontroversi sebelum ini. Tapi daripada kontroversi itulah saya belajar untuk menjadi individu yang lebih baik.

“Selepas berkahwin dan memiliki dua orang cahaya mata, saya mengelak daripada cerita panas. Kalau ada pun, saya tidak akan ‘memanaskannya’ lagi,” ujarnya.

STATUS isteri dan ibu kepada dua anak banyak mempengaruhi kematangan Ummi dalam menjalani kehidupannya selaku artis agar tidak terlibat dengan kontroversi.

Lebih berjaga-jaga, Ummi juga enggan jika sesuatu isu melibatkan dirinya diperbesarkan demi memikirkan kesan pada masa hadapan termasuk terhadap anak-anaknya.

“Apabila sudah ada anak, lagilah saya kena menjaga aib diri sendiri dan keluarga. Pada usia 31 tahun sekarang, saya cuba untuk larikan diri daripada kontroversi buruk.

“Saya percaya, sebagai figura umum, saya perlu memberikan contoh yang baik sebab ramai anak muda jadikan kita (selebriti) sebagai contoh. Bila dah jadi ibu sekarang, lagilah saya kena jadi yang terbaik untuk anak-anak,” ujarnya.

Baru-baru ini, suaminya yang juga merupakan seorang doktor, Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani ada berkongsi perihal pujian buat Ummi yang disifatkan bukan pemburu glamor.

Dari situ, jelas tergambar kasih sayang seorang suami untuk isterinya dalam mengharungi kemanisan dalam rumah tangga.

Bergaduh itu biasa

Tersipu malu, Ummi mengakui sangat bersyukur dan beruntung dikurniakan ‘hero’ budiman bukan sahaja kepada dirinya, bahkan anak-anak.

Bagaimanapun ibarat kata pepatah ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’, Ummi tidak menafikan kehidupan rumah tangganya ada pasang surut.

Kata Ummi, bohong kalau dia tidak pernah berselisih faham dengan suaminya sejak mereka disatukan pada 2017.

EMPAT tahun berkahwin, Ummi dan suaminya, Izzar sama seperti pasangan lain yang tidak terlepas daripada terlibat dengan salah faham.

“Tipu kalau saya kata tidak pernah bergaduh dengan suami disebabkan salah faham. Sebenarnya, saya jenis yang panas baran, manakala suami seorang yang pendiam dan mudah mengalah.

“Tapi disebabkan perangai kami yang berbeza itu menjadikan kami lebih serasi. Kalau ada apa-apa masalah, kami tidak pendam sendiri. Masing-masing akan cari jalan penyelesaian,” ujarnya.

Tambah Ummi, latar belakang keluarganya yang berpecah-belah juga menjadi satu iktibar buatnya dalam melestarikan kehidupan berumahtangga.

“Saya sendiri datang dalam keluarga yang menyaksikan perceraian ibu bapa. Anak perempuan memerlukan kasih sayang seorang ayah. Jadi saya takut jika perkara itu terjadi pada anak-anak saya.

“Sebagai anak perempuan sebenarnya saya memerlukan ‘leading example’ daripada seorang lelaki. Saya ada abang, tapi umur kami sangat dekat. Saya percaya seorang anak perempuan itu perlu lihat bagaimana seorang bapa melayan ibu mereka,” jelas Ummi.

Biarpun dibesarkan oleh ibu tanpa kasih sayang secukupnya daripada seorang bapa, Ummi bersyukur kerana masih diberikan kasih sayang secukupnya oleh ibunya.

Namun, bukan mudah untuk seorang ibu memegang dua peranan serentak kerana memerlukan pengorbanan masa bagi mencari nafkah keluarga, pada masa sama memberi tumpuan terhadap anak-anak.

Kembali aktif

Mengakui bahagia dengan kehadiran dua orang permata hati, Ayra Aneesah, 3, dan Aysha Arsylia, lima bulan, kehidupan Ummi dan suami cukup menyenangkan.

Tidak menolak jika diberikan rezeki untuk menambah bilangan cahaya mata suatu hari nanti, Ummi bagaimanapun meminta diberikan waktu sehingga lima tahun jika mahu menambah zuriat ketiga.

Selepas memiliki dua orang anak, dia mahu kembali fokus dan aktif terhadap kerjayanya sebagai pelakon.

KEMBALI aktif dengan kerjaya seninya, Ummi mahu terus kekal relevan sama seperti nama besar lain dalam industri.

Hasil perbincangan dan keizinan suami, Ummi tekad untuk ‘berehat’ seketika sekurang-kurangnya lima tahun daripada menambah bilangan anak.

“Saya tidak malu untuk beritahu bahawa saya kini sedang mengikuti program ‘perancangan keluarga’ kerana mahu fokus dengan kerjaya.

“Suami okey sahaja dengan dua orang anak. Lagi pun dia lihat sendiri kepayahan saya untuk menguruskan dua anak yang masih kecil. Cuma katanya kalau tambah lagi bagus sebab meriah,” jelas Ummi.

Kata Ummi, rasa cintanya terhadap kerjaya lakonan tidak pernah pudar, malah dia mahu terus kekal relevan jika diberi peluang.

“Ramai senior dalam industri seperti Erra Fazira dan Ziana Zain kekal dalam industri disebabkan disiplin diri.

“Kunci utamanya, mereka menghormati orang. Saya jadikan mereka ini sebagai contoh dalam kerjaya saya supaya kekal relevan dalam industri,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI