PUCHONG – Kerajaan memperuntukan RM21 juta bagi pembinaan tujuh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak yang akan memberikan manfaat khususnya kepada golongan wanita, kanak-kanak, keluarga, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun, tujuh lokasi PSSS bergerak yang bakal diadakan tahun depan adalah di Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sarawak, Sabah dan Putrajaya.
Menurutnya, ketujuh-tujuh PSSS itu akan memberikan perkhidmatan sosial yang holistik dan menekankan kepada pendekatan yang seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita cadangkan tiga secara premis di Kelantan, Selangor dan juga Johor dan tujuh secara bergerak. Dalam Bajet 2022 baru-baru ini ada penambahan RM4.5 juta yang akan kita gunakan untuk menambahbaik pusat sokongan dan kita akan tambah tiga lagi untuk tahun harapan.
“Ini adalah inisiatif pihak kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara dalam menyediakan perkhidmatan dari segi psikososial dan menjadi satu pusat di mana rakyat boleh datang PSSS ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana hari ini.
Tiga premis PSSS dan empat PSSS bergerak itu telah memulakan perkhidmatannya bulan lalu termasuk satu pejabat satelit di ibu negara dengan diperkuatkan kehadiran 111 anggota Skuad Sukarelawan Kaunselor Berdaftar di bawah KPWKM.
Selain memberikan perkhidmatan psikososial, PSSS ini juga akan menawarkan akses kepada informasi dan perkhidmatan mengenai kaunseling dan intervensi, menggerakkan usaha keseluruhan kerajaan dan masyarakat dalam membendung masalah sosial serta menawarkan bantuan kepada pihak yang memerlukan.
PSSS ini juga akan menjadi tempat rujukan setempat untuk masyarakat mengemukakan sebarang aduan.
Rina berkata, sehingga kini sejumlah 30 aduan telah diterima PSSS sepanjang sebulan beroperasi.
“Tidak sampai sebulan, kita telah terima kurang daripada 30 kes, di mana banyak isu berkaitan faktor emosi dan tekanan akibat ekonomi dan bagi kita di kementerian, permasalah ini akan diselesaikan secara holistik,” katanya.
Tambahnya lagi, PSSS ini akan dikembangankan peranan ke seluruh negara pada tahun hadapan dan pada masa ini ia akan memfokuskan kepada pelaksanaannya di Lembah Klang terlebih dahulu. – K! ONLINE