PETALING JAYA – Pelbagai produk ditawarkan di laman sosial kononnya boleh mengelakkan diri daripada sebarang gangguan makhluk halus bermula daripada tangkal, air, minyak sehinggalah ke pakaian.
Terbaharu, tular di laman sosial penjualan baju muslimah dan baju t-shirt yang dikatakan mampu mencegah gangguan mistik tersebut.
Menurut keterangan oleh penjual produk berkenaan, baju yang dijualnya itu di jahit menggunakan kaedah falaq iaitu amat mujarab untuk pesakit mistik seperti saka, sihir dan santau.
Harga yang ditawarkan pula adalah RM313 bagi baju muslimah wanita (blouse), manakala harga ahli adalah RM270 sehelai.
Selain baju wanita, turut ditawarkan adalah baju t-shirt bagi kaum lelaki yang ditawarkan dalam pelbagai saiz bermula saiz S sehingga ke XXL.
Susulan perkongsian iklan terbabit, rata-rata pengguna laman sosial mengecam tindakan penjual terbabit dan menganggap tawaran itu adalah sesuatu yang mengarut dan boleh mendatangkan syirik.
“Dia punya tailor (tukang jahit) mesti kena naik ke langit nak buat baju ni sebab guna kaedah falaq, harga pon melangit jugak,” tulis Nurul Syuhada.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna laman sosial dikenali sebagai Azman Man.
“Siapa percaya kepada ‘kuasa’ pakaian ini dia betul-betul sudah sesat dan menyimpang dari agama. Tapi saya yakin mesti ada juga yang akan membelinya nanti,”katanya.-K! ONLINE