fbpx

Pendapatan pekebun getah disasar RM4,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL RAHMAN MOHAMAD (dua dari kiri) bersama Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) pada majlis perasmian depo lateks dan skrap serta penyerahan dividen Agropolitan Gahai Risda Pahang di Dewan Dato' Hj Wan Rosdy Kampung Tanjung Gahai di Lipis semalam.

LIPIS – Pekebun kecil getah yang sering dikaitkan dengan pendapatan rendah sehingga di bawah paras kemiskinan akan ditransformasikan dengan sasaran mampu memperolehi pendapatan sebanyak RM4,500 menjelang 2025.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, dalam merealisasikan sasaran itu antara usaha dilakukan adalah cadangan pembinaan sebuah kilang getah di Semenanjung.

“Dalam dua tiga tahun ini kita berusaha bersungguh-sungguh bagaimana hendak meningkatkan hasil dan sebagainya sebab itu saya bersama ketua setiausaha (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) pernah berbincang daripada segi depo lateks lebih efisien.

“Saranan menteri sendiri agar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) membuka kilang lateks yang boleh dibekukan dan dihantar ke luar negara mengikut permintaan negara tersebut,”katanya pada majlis perasmian depo lateks dan skrap serta penyerahan dividen Agropolitan Gahai Risda Pahang di Dewan Dato’ Hj Wan Rosdy Kampung Tanjung Gahai di sini semalam.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun; Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal dan Pengarah Risda Pahang, Esa Rahimin.

Menurut Abdul Rahman pembinaan kilang lateks berteknologi tinggi di Semenanjung mampu direalisasikan berdasarkan kepada bajet yang diterima Risda selain prestasi agensi itu yang sentiasa memperolehi keuntungan dan tiada masalah besar dari segi kewangan.

Beliau memberitahu dengan permintaan getah yang agak tinggi dari luar negara seperti Jerman, pembinaan sebuah kilang lateks di Semenanjung amat signifikan khususnya dalam sektor ekonomi.

“Kalau kita bina kilang, pertama ia memberi ruang pekerjaan kepada pekerja tempatan, contohnya kalau dibina di Gahai ini tidak kurang 300 hingga 400 pekerja diperlukan dan kita juga boleh meningkatkan harga getah yang mana kita menyasarkan RM3.50 sekilogram berbanding harga sekarang RM2.70.

“Jadi kalau kita mempunyai kilang sendiri juga kita mungkin boleh meningkatkan harga belian itu, kita boleh menawarkan harga lebih baik kepada pelanggan kita iaitu pekebun kecil itu sendiri,”katanya.

Sementara itu beliau berkata, komoditi getah berpotensi di negara ini yang mempunyai keluasan tanaman getah matang pada masa ini seluas 8,666 hektar dengan melibatkan kira-kira 30,000 pekebun kecil getah.

Ujarnya, pada tahun ini kerajaan menyasarkan pengeluaran getah negara meningkat kepada 514,000 tan metrik berbanding 514,000 tan metrik pada tahun lalu.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI