JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan pemandu kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna coklat yang dirakam memandu melawan arus di Lebuh Raya Senai-Desaru, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pemandu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan berbahaya.
“Sekiranya pemandu tersebut disabitkan bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.-K! ONLINE