MOSCOW – Sepasang kekasih dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan selepas gambar mereka sedang melakukan hubungan intim di hadapan sebuah gereja tersebar di media sosial bulan lalu, lapor laman berita Wionews semalam.
Ruslani Murojonzod dan pasangannya, Anastasia Chistova memuat naik gambar yang memberi gambaran sedang melakukan perbuatan tidak senonoh itu.
Dalam gambar itu juga, Chistova dilihat sedang memakai jaket polis. Gambar itu dirakam dengan berlatarbelakangkan bangunan gereja Red Square di Moscow.
Selepas foto tersebut tular, pasangan itu ditahan kerana melakukan perbuatan yang boleh menyinggung perasaan majoriti penduduk di negara itu.
Malah, sekumpulan pakar menuduh bahawa perbuatan tersebut dibuat dengan niat ‘menghina agama’.
Pasangan itu merupakan yang pertama dipenjarakan di bawah undang-undang tersebut yang diluluskan pada 2013.
Sebelum ini, seorang bintang platform perkongsian video lucah OnlyFans, Bunny menjadi tular kerana mendedahkan payudaranya berdekatan gereja St Basil.
Biarpun telah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas menimbulkan kemarahan orang ramai atas tindakan tersebut, Bunny masih menghadapi kemungkinan pendakwaan bagi kes itu. – AGENSI