LONDON – Helah mengerikan yang dilakukan seorang lelaki bersempena sambutan festival Halloween membawa padah apabila dia disoal siasat polis selepas disyaki menculik seseorang yang diletakkan di bahagian belakang kenderaannya, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Daren Houlker, 49, menghias van miliknya dengan tangan dan kaki manusia yang diperbuat daripada plastik serta menggantungnya di bahagian belakang kenderaan itu.
Dia kemudiannya memandu van tersebut sejauh lebih tiga kilometer pada Rabu lalu dan terlupa mengenai dekorasi mengerikan yang berada pada van itu.
Akibatnya, seorang individu telah membuat laporan polis kerana mengesyaki Houlker menculik seorang lelaki.
Ketika pulang ke rumah, dia terkejut apabila melihat anggota polis muncul di kediamannya dan sedang menjalankan siasatan bagi jenayah penculikan.
Houlker kemudiannya meminta pegawai polis untuk memeriksa van miliknya, dan pegawai tersebut tertawa selepas mendapati ia sekadar perhiasan Halloween.
Houlken menyifatkan helah itu sebagai satu kejayaan walaupun ia agak keterlaluan.
“Memandangkan saya memandunya pada hari yang berangin, tangan dan kaki tersebut mungkin berterbangan, menyebabkan orang ramai beranggapan seseorang telah diculik dan sedang meminta bantuan.
“Helah itu merupakan satu kejayaan namun saya tidak menyangka ia keterlaluan,” katanya. – AGENSI