fbpx

Kerosakan kemudahan sukan SMK Gunung Rapat dibaiki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Shahril (dua dari kanan) semasa meninjau keadaan trek balapan di SSN SMK Gunung Rapat, Ipoh yang perlu dibaiki.

IPOH – Peruntukan akan dimohon daripada kerajaan bagi membaiki kerosakan beberapa kemudahan sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Gunung Rapat di sini yang juga merupakan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak.

Ini perlu dilakukan segera supaya para atlet dapat menjalani latihan dengan lebih efisien dan tidak terganggu apabila kemudahan sukannya terurus.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, ketika ini beberapa fasiliti sukan perlu diperbaiki dan dinaik taraf seperti trek balapan, gelanggang sepak takraw dan gelanggang hoki.

Menurut beliau, keadaan trek balapan yang telah mengalami kerosakan tidak boleh digunakan untuk latihan kerana membahayakan atlet olahraga.

“Perkara ini telah saya panjangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semasa pertemuan di Ipoh baru-baru ini dan mendapat respons positif.

“Sememangnya kita perlu memastikan SSN SMK Gunung Rapat mempunyai kemudahan sukan terbaik dan terjaga lantas meneruskan kecemerlangannya untuk melahirkan lebih ramai atlet negeri dan negara berstatus dunia,” ujarnya kepada Kosmo! ketika dihubungi.

Khairul Shahril sebelum ini telah turun padang meninjau kemudahan sukan di sekolah berkenaan yang turut disertai, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak (MSN) , Johari Sham Ahmad Shohor Affendi.

Bagi memastikan latihan tidak tergendala, kerajaan negeri dan MSN Perak mempertimbangkan untuk atlet di sekolah tersebut menggunakan Stadium Perak sebagai tempat latihan mereka selama tiga kali seminggu.

SMK Gunung Rapat mencipta nama sebelum ini apabila melahirkan atlet pecut amat berbakat iaitu Mohd. Azeem Mohd. Fahmi, 17, apabila mencatatkan rekod 10.57 dalam acara 100 meter dua tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Khairul Shahril memberitahu, beliau juga telah berjumpa dengan Mohd. Poad Md. Kassim iaitu jurulatih SSN SMK Gunung Rapat yang baru berpindah dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor.

Kehadiran jurulatih pecut itu disertai dua pemenang pingat emas Sukan SEA yang juga atlet kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Muhammad Haiqal Hanafi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI