INDUSTRI hiburan kini kembali dibenarkan berjalan seperti biasa, namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di lokasi penggambaran, ironinya tidak semua urusan berjalan lancar.
Sejak dibenarkan bekerja selepas berbulan lamanya periuk nasi terjejas bahkan kontang tidak berisi, bermacam kontroversi mula menyelinap, antaranya isu pekerja tanpa vaksin, sijil vaksin tipu-tipu dan yang paling panas, penyalahgunaan dadah dalam kalangan kru produksi termasuk pelakon.
Bermula dengan isu pendedahan aktres veteran Fauziah Nawi yang mendakwa ada produser cukup berani meneruskan kerja penggambaran dengan mengambil pelakon belum divaksin secara sembunyi, sekali gus melanggar peraturan ditetapkan kerajaan.
Isu penggambaran anak seni pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kemudian meleret dengan kontroversi penahanan seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah di sebuah set penggambaran di Perak atas penyalahgunaan dadah.
Selepas berbulan tidak bekerja, kemudian lokasi penggambaran dicemari insiden sebegitu, sudah tentu meninggalkan impak kepada semua yang terlibat, sekali gus mengganggu kelancaran kerja pihak lain yang tidak bersalah.
Tegas dalam hal berat sebegitu agar tidak terjadi dalam produksi drama terbitannya kelak, penerbit Jaja Ishak baru-baru ini berkata, dia tidak akan sesekali berkompromi atau menutup sebelah mata terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Semua pelakon yang ingin bekerja bersama produksinya perlu ‘bersih’ kerana dia tidak akan sesekali berkompromi dengan orang yang mengambil dadah.
“Saya juga tidak akan mengamalkan konsep ‘selagi belum kantoi, tidak mengapa’ bagi menutup kesalahan ketika proses penggambaran dijalankan,” tegasnya.
Meskipun mengakui agak sukar mengenal pasti individu yang terjebak dengan penggunaan bahan terlarang, dia serius dalam menangani hal tersebut dengan cara terus menggugurkan nama mereka daripada menyertai penggambaran andainya tertangkap.
Sementara itu pengarah sensasi Michael Ang turut mengakui, isu berat melibatkan penyalahgunaan dadah adalah satu hal yang mempunyai impak sangat besar terhadap semua orang.
“Sebenarnya bab dadah ini saya sangat pantang. Saya tak nak tahu pasal kehidupan kru dan pelakon di luar, sebab itu mereka punya hal.
“Tapi tolong hormat orang lain sebab kalau kena tangkap, bukan seorang saja terkesan tapi semua.
“Sebab itu saya setuju kalau wujudkan syarat, semua pekerja kena buat ujian air kencing sebelum masuk set penggambaran,” ujarnya.
Tambah pengarah drama Setelah Terlafaznya Akad itu, dia pernah mencadangkan kepada Astro untuk melakukan perkara tersebut bagi semua produksi terbitan stesen berkenaan.
“Tapi semuanya akan melibatkan duit atau kos. Nanti akan membebankan produksi pula sebab bukan murah. Sekarang pun kami ada kos tambahan untuk buat ujian kendiri Covid-19,” katanya lagi.