PETALING JAYA- Berang ditipu scammer yang menyamar menjadi peniaga dalam Instagram, pelakon Datin Almy Nadia nekad membuat laporan polis sebentar tadi.
Dalam video yang dimuat naik suaminya, pelakon Datuk Fizz Fairuz menerusi Instagram, Almy dilihat menangis kerana menahan geram ditipu sebanyak RM570 oleh scammer yang kononnya menjual kereta sorong bayi (stroller).
“Kali ini tiba-tiba hendak beli barang dalam Instagram, ingat nak sokonglah konon. Saya jarang beli barang dalam Instagram.
“Bagi saya, banyaklah kena tipu RM570,” kata Almy yang menurut Fizz sudah biasa membeli-belah secara dalam talian.
Bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa scammer berkenaan, Almy nekad membuat laporan polis.
Pelakon filem Munafik itu berharap kejadian yang menimpa isterinya dijadikan pengajaran oleh orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli-belah secara dalam talian.
“Kejadian hari ini, kena tipu dengan orang jual ‘stroller’. Berhati-hati jika mahu membeli barang secara dalam talian. Jangan percaya sangat, bahaya sekarang.
“Gunakan saluran yang betul atau pastikan peniaga online berdaftar. Peniaga ini ambil duit selepas itu diam. Jika hendak minta sedekah beritahulah, jangan menipu.
“Tetapi jangan risau, laporan polis sedang dibuat. Sabar ya sayang, nanti Allah bagi yang lain okey,” tulis Fizz.
Akaun Instagram berkenaan turut menggunakan gambar pelakon dan pengacara popular Ain Edruce sebagai gambar profil untuk memperdaya dan meyakinkan orang ramai.
“Siap pakai foto Ain Edruce sebagai gambar profil akaun Instagram. Kononnya, Ain pernah beli dengan dia.
“Orang ini Indonesia katanya, sebab sudah periksa dia ada banyak akaun jual ‘stroller’. Awas semua!” tulis Fizz lagi memberi amaran kepada orang ramai.
Dalam pada itu, ramai pengikut Instagram Almy turut berkongsi pengalaman serupa, malah ada yang pernah menjadi mangsa scammer yang sama. – K! ONLINE