fbpx

Dikompaun kerana lupa, tidak tahu guna MySejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai Penyelia OPs Covid IPD Manjung, Asisten Superintendan Heng Kok How (kanan) melakukan pemeriksaan ketika operasi di sekitar Pulau Pangkor semalam.

LUMUT – Lupa dan tidak tahu menjadi alasan 15 individu termasuk pelancong di Pulau Pangkor apabila dikompaun kerana tidak mengimbas menggunakan aplikasi MySejahtera dan memakai pelitup muka.

Mereka yang dikompaun terdiri daripada sembilan lelaki dan enam wanita berusia 21 hingga 62 tahun dengan jumlah kompaun RM23,000.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tindakan kompaun itu diambil dalam Ops Covid Khas Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.

Menurut beliau, pemantauan tersebut telah dijalankan pasukannya diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.

“Sebanyak 12 kompaun dikeluarkan kerana gagal mendaftar masuk ke dalam premis menggunakan MySejahtera dengan alasan lupa dan tidak tahu wajib mengimbas menggunakan aplikasi tersebut.

“Polis turut mengeluarkan tiga kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, operasi oleh tiga pegawai dan 12 anggota polis itu bertujuan untuk memastikan semua pengunjung ke pulau peranginan itu mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 yang masih berkuatkuasa.

Tegasnya, pihak polis menjalankan pemantauan rapi ke atas pengunjung di tempat peranginan, tumpuan orang ramai dan kedai-kedai yang berada di kawasan tumpuan pelancong.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai untuk terus kekal mematuhi SOP dan melaksanakan kawalan kendiri sebaik mungkin dalam menghadapi cabaran penularan Covid-19 daripada terus merebak.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI