SEBERANG PERAI – Dua kali diberhentikan kerja dalam tempoh lima tahun pastinya bukan sesuatu kenangan yang menarik.
Seorang bekas pramugara, Nyak Mohd. Irwan Nyak Zahari, 41, yang enggan menyerah kalah bertekad untuk mengubah hidup dengan menjadi seorang usahawan makanan sepenuh masa.
Katanya, dia mula berkhidmat sebagai pramugara sejak 2004 dengan Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan pernah bekerja dengan dua syarikat penerbangan antarabangsa sebelum kembali menabur bakti bersama MAS sehingga berlakunya retrenchment beramai-ramai pada 2015.
“Kemudian, nasib saya masih baik apabila diterima pula untuk berkhidmat dengan AirAsia selama lima tahun sehingga 2020 sebelum sekali lagi terpaksa berdepan retrenchment buat kali kedua,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Nyak Mohd. Irwan berkata, berbekalkan wang pampasan yang diterimanya, dia dan isteri, Siti Noor Halijah Che Omar, 41, memberanikan diri berniaga kek batik.
Berkat kesabaran mereka, produk premium yang dinamakan Kek Batik Abang Pramugara itu mula mendapat permintaan tinggi terutama di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan selain Pulau Pinang.
Ketika ini katanya, kira-kira 100 pek kek batik yang berharga RM7 setiap satu itu dapat dihasilkan setiap hari.
“Kami juga berniaga nasi lemak pada sebelah pagi selain turut menyediakan perkhidmatan katering di bawah nama Abang Pramugara Kitchen.
“Setakat ini, semua cabang perniagaan yang kami usahakan menerima sambutan yang sangat baik,” kata pemegang ijazah dalam bidang pentadbiran perniagaan.
Menurutnya, ketika ini, mereka sedang dalam perancangan untuk membuka cabang perniagaan baharu iaitu burger yang akan dijalankan pada sebelah petang dan malam. -K! ONLINE