DOHA – Kelab gergasi Qatar, Al Sadd mahu ‘tutup buku’ mengenai isu penghijrahan ketua jurulatih mereka, Xavi Hernandez yang dilaporkan menarik minat Barcelona selepas pasukan berpengaruh Sepanyol itu sedang mencari pengendali baharu ketika ini.
Sebagai rekod, Xavi menjadi antara nama yang dicanang untuk mengisi kerusi yang ditinggalkan oleh Ronald Koeman selepas pengendali kelahiran Belanda itu dipecat susulan prestasi hambar bersama The Catalans musim ini.
Al Sadd dalam satu kenyataan berkata jurulatih kelahiran Sepanyol itu masih memiliki kontrak selama dua tahun bersama pasukan dan pengurusan tertinggi menuntut agar perjanjian tersebut dihormati oleh semua pihak.
“Mengenai isu yang tular sejak awal minggu ini, pihak pengurusan mahu spekulasi tersebut ditutup sepenuhnya kerana Xavi masih memiliki kontrak dua tahun bersama Al Sadd dan dia memberi jaminan untuk membantu pasukan menamatkan saingan musim ini,” kata kenyataan tersebut.
Pengendali berusia 41 tahun itu sememangnya dianggap sebagai salah seorang pemain legenda Barcelona apabila beraksi lebih 17 musim melibatkan 750 perlawanan sebelum berkelana ke Qatar pada 2015.
Xavi telah menjadi pemain Al Sadd untuk tempoh selama empat tahun sebelum dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan itu pada musim 2019.
Bekas pemain antarabangsa La Roja itu berjaya membantu Al Sadd menjuarai tujuh trofi peringkat domestik sepanjang tiga tahun membimbing pasukan itu.
Difahamkan, Xavi telah bersetuju secara lisan dengan termas kontrak yang ditawarkan oleh Barcelona tetapi kelab itu sedang mencari dana untuk menebus kontrak bernilai €1 juta (RM4.8 juta) kepada Al Sadd. – AGENSI