DOHA – Pengendali Al Sadd, Xavi Hernandez mengambil pendekatan kunci mulut berhubung spekulasinya dengan Barcelona, sebaliknya mahu fokus untuk membantu pasukannya menamatkan saingan Liga Qatar dengan cemerlang.
Nama Xavi ketika ini disebut-sebut bakal menggantikan kerusi yang ditinggalkan oleh Ronald Koeman selepas pengendali dari Belanda itu dipecat kelmarin susulan prestasi hambar bersama The Catalan musim ini.
Bagaimanapun, Xavi enggan memberikan apa-apa kenyataan atau pengesahan kerana mahu menghormati kontraknya bersama Al Sadd yang akan berakhir pada 2023.
“Buat masa ini saya hanya mahu memberi tumpuan kepada Al Sadd kerana kami akan mengharungi aksi penting menentang Al Ahli minggu ini.
“Jadi, tiada perkara lain yang boleh saya katakan setakat ini (mengenai spekulasi penghijrahan ke Barcelona),” katanya.
Xavi, 41, sudah dianggap legenda Barcelona apabila beraksi lebih 17 musim bersama kelab itu yang melibatkan 750 perlawanan sebelum memilih berkelana ke Qatar pada 2019.
Difahamkan, Xavi telah bersetuju secara lisan dengan Barcelona tetapi kelab itu perlu mencari dana terlebih dahulu untuk menebus kontraknya yang dianggarkan bernilai €1 juta (RM4.8 juta) kepada Al Sadd.
Sementara itu, Barcelona mengesahkan keputusan untuk menaikkan pangkat ketua jurulatih Barcelona B, Sergi Barjuan sebagai pengendali sementara pasukan.
“Presiden Barcelona, Joan Laporta telah bersetuju untuk melantik Barjuan sebagai pengendali sementara pasukan berkuat kuasa serta-merta dan pihak pengurusan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya,” menurut kenyataan rasmi Barcelona. – AGENSI