PARIT BUNTAR – “Saya hanya terbayang wajah isteri yang hamil tiga bulan dan anak-anak sepanjang melalui detik cemas apabila bot yang dinaiki dipukul ribut.”
Demikian kata seorang pemancing, Abdul Hafiz Abdul Hamid, 40, yang terselamat bersama tujuh rakan setelah bot mereka terbalik dibadai ribut di perairan Kuala Kurau.
Dia tidak menyangka melalui detik cemas itu walau pun telah berpuluh kali keluar memancing di laut serata perairan negara ini.
Menceritakan kejadian tersebut, katanya, tekong telah menghentikan bot pada jarak 50 meter sebelum sampai ke lokasi tempat memancing disebabkan laut mula bergelora.
“Tekong kemudian membawa bot merapati bot nelayan laut yang berhampiran apabila ombak laut setinggi lebih tiga meter memukul bot kami menyebabkan bot terbalik.
“Dua orang rakan sempat melompat masuk ke dalam bot nelayan manakala saya dan lima rakan yang lain tercampak ke dalam laut,” ceritanya.
Dia berpaut kuat pada dinding bot selama setengah jam semasa ombak sebelum diselamatkan oleh nelayan.
Seorang lagi pemancing, Mohd. Fakrullah Ahmad, 30, berkata, mereka menaiki bot itu pada jam 10 pagi di Changkat, Nibong Tebal dan bercadang untuk memancing disitu selama dua hari.
Tambahnya, segala peralatan memancing bernilai puluhan ribu ringgit serta pelbagai dokumen penting termasuk kad pengenalan hilang ditelan ombak. -K! ONLINE