LONDON – Pemain tengah Tottenham Hotspur, Lucas Moura berwaspada dengan ancaman berbahaya daripada Manchester United menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Meskipun The Red Devils dibelasah 0-5 oleh Liverpool minggu lalu, namun Moura percaya pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu ibarat harimau terluka yang sedang menunggu masa untuk membaham mangsanya.
Justeru, dia berharap Spurs mampu menampilkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan dalam aksi itu memandangkan pengurusnya, Nuno Espirito Santo turut berada dalam keadaan tertekan, sama seperti dihadapi Solskjaer ketika ini.
“Tidak ada perlawanan yang mudah apabila bertemu United. Sudah tentu mereka sangat dahagakan kemenangan selepas pertemuan dengan Liverpool sebelum ini, begitu juga kami.
“United memiliki ramai pemain berpengalaman dan pernah berada dalam situasi tersebut. Oleh itu, saya percaya mereka tidak ada masalah untuk hadapi tekanan yang dialami sekarang,” kata pemain Brazil itu.
Moura yang meledak gol kemenangan ketika menewaskan Burnley dalam saingan Piala Liga England kelmarin mengakui, keputusan itu sememangnya memberikan suntikan motivasi terbaik buat para pemain Spurs.
“Kemenangan itu amat penting untuk kami selepas tewas kepada West Ham (United) sebelum ini. Sekarang kami akan berdepan United dan saya harap rakan sepasukan akan memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut,” ujarnya. – AGENSI