VALENCIA – Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone mengkritik mutu pengadilan Pablo Gonzalez Fuertes sewaktu pasukannya sekadar seri 2-2 dengan Levante pada aksi La Liga di Estadio Ciudad de Valencia awal pagi semalam.
Simeone bengang dengan tindakan Fuertes yang melayangkan kad merah kepadanya kerana membantah keputusan pengadil keempat pada 15 minit terakhir permainan.
Fuertes turut menghadiahkan sepakan penalti kedua kepada Levante dalam perlawanan itu selepas bola didakwa terkena tangan pertahanan Atletico, Renan Lodi dalam kotak penalti pada minit ke-90.
“Saya tak mahu menjadikan pengadil sebagai alasan kami gagal meraih kemenangan.
“Dia (Fuertes) memberikan dua sepakan penalti kepada lawan dan tidak mengambil apa-apa tindakan walaupun Joao (Felix) ditendang sebanyak 200 kali selain banyak memberikan layangan kad kuning.
“Kami perlu terima realiti ini kerana tiada perubahan kalau saya bercakap lebih mengenai keputusan pengadil. Lebih baik saya diam,” kata Simeone.
Atletico membuka tirai jaringan melalui Antoine Griezmann sebelum Enis Bardhi menyamakan kedudukan buat Levante menerusi sepakan penalti pada minit ke-37.
Hasrat juara bertahan La Liga itu untuk meraih tiga mata menerusi jaringan daripada Matheus Cunha tidak kesampaian apabila Fuertes sekali lagi menganugerahkan sepakan penalti kepada Levante yang disempurnakan oleh Bardhi pada minit ke-90. – AGENSI