fbpx

Roh jiwang, melekat Malam Semakin Dingin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN Tajul dan Afieq memberi apresiasi tertinggi terhadap lagu Malam Semakin Dingin yang pernah diterbitkan 20 tahun lalu menerusi album Litar Asmara nyanyian Spin.

SIAPA sangka, album berjudul Litar Asmara oleh band kegilaan ramai suatu ketika dahulu, Spin sudah berusia 20 tahun. Mengimbau kembali trek-trek yang dimuatkan dalam diskografi terbitan FMC suatu ketika dahulu tersebut tenyata satu pengalaman mengasyikkan.

Selain Memori Berkasih (duet bersama Siti Nordiana) dan Utusan Rindu, ada sebuah karya berstatus ‘deep cut’ atau non-single yang hanya peminat tegar mengerti betapa fenomena dan dekatnya lagu tersebut buat penggemar muzik Spin.

Judulnya, Malam Semakin Dingin. Lagu tersebut menjadi siulan ramai terutama golongan remaja yang baru ingin mengerti soal hidup, dua dasawarsa lalu.

Nostalgia Spin

Selepas 20 tahun, adik kandung kepada vokalis utama kumpulan tersebut, Achik iaitu Tajul mengambil tanggungjawab memberi nafas baharu kepada lagu ciptaan Aiman dan Lukhman S. tersebut. Tidak berseorangan mendendangkan antem ‘jiwang’ berkenaan, Tajul turut menjemput Afieq Shazwan untuk turut serta.

Satu percaturan yang berjaya apabila Malam Semakin Dingin versi baharu menduduki posisi nombor dua carta muzik, Recording Industry Malaysia (RIM). Barangkali 20 tahun lalu, lagu tersebut tidak sempat berada di puncak kegemilangan dan kini, perihal itu sudah tertebus biarpun Allahyarham Achik tidak lagi berada di dunia ini.

Menyentuh soal susunan muzik baharu Malam Semakin Dingin, pasukan kreatif terlibat dalam aspek berkenaan telah melakukan sebuah tugasan yang ‘bersih’. Mungkin ramai tidak sedar, lagu berkenaan antara karya yang sebenarnya sukar untuk dinyanyikan semula mana-mana penyanyi.

Dari aspek komposisi muzik, Malam Semakin Dingin versi Tajul dan Afieq disesuaikan dengan peredaran zaman, namun tidak menyalahi sifir atau meninggalkan versi lama. Masih mendayu, masih jiwang dan tetap mudah meresap dalam jiwa setiap pendengar.

Leleh, jiwang

‘Leleh’ dan julat suara (pitch) Allahyarham Achik memang tiada tolok banding. Dia kekal sebagai antara penyanyi lelaki Malaysia yang mencapai nada tinggi dengan wajah bersahaja. Itulah Achik. Hanya Allahyarham yang boleh menyanyi nada tinggi dengan wajah selamba.

Tajul dan Afieq melunaskan peranan mendendangkan Malam Semakin Dingin dengan sempurna tanpa terlalu perlu menandingi kehebatan dan nostalgia yang ditinggalkan Spin. Jujur, mendengar kembali lagu ini sangat merobek nostalgia dan boleh sahaja membuatkan air mata mengalir.

Bayangkan 20 tahun lalu, buat mereka yang seusia penulis lewat 20-an, mungkin waktu versi asal diterbitkan, usianya baru 10 tahun masih di bangku sekolah rendah. Lagu ini mungkin dimainkan menggunakan kaset dan kita semua sedang seronok bermain permainan tradisional seperti guli, gasing dan sebagainya.

Paduan suara antara Tajul dan Afieq memang mengena. Tajul memang kita semua sedia tahu mempunyai ‘DNA’ abangnya, namun masih memiliki signatur tersendiri.

Potensi Afieq

Penulis mahu memberi ruang kepada Afieq yang dilihat mampu menyerlah dalam industri seni tanah air. Malam Semakin Dingin yang dijayakan secara berduet olehnya memberi bukti bahawa sudah sampai waktunya Afieq menumpukan kepada satu genre muzik.

Sebelum ini dia mungkin ingin menyanyikan lagu berentak reggaeton dan menemui jalan kurang kemas, sekarang mungkin sudah terang lagi bersuluh. Jenis muzik sebegini menzahirkam apresiasi emas kelompok peminatnya.

Secara peribadi, Tajul dan Afieq bukan sahaja menggamit memori dengan kelahiran Malam Semakin Dingin versi baharu, kerjasama dan usaha mereka menjentik jiwa bahawa banyak sebenarnya karya lama yang tidak sempat dijulang atau dicanang selayaknya. Terima kasih Tajul, Afieq dan FMC!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI