PONTIAN – Remaja yang dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan pulang menangkap udang bersama bapanya ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Benut, di sini petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil berkata, mayat Mohd. Akmal Jamaluddin, 17, ditemui pada pukul 4.07 petang kira-kira 50 meter dari lokasi dia terjatuh dan tersangkut di bawah tunggul kayu.
“Jenazah mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menceritakan semula kejadian itu, bapa mangsa, Jamaluddin Jamil, 58, berkata, mereka bertolak dari Jeti Nelayan Tampok Laut pada pukul 9 pagi untuk menangkap ikan di Sungai Pinggan.
Ujar pemandu lori itu, semasa menjaring udang, anaknya mengalami sakit perut dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah di Kampung Permatang Sepam Darat.
“Setibanya di kawasan kejadian pukul 11.50 pagi, pandangan saya menjadi gelap menyebabkan terlanggar tunggul kayu. Arwah tercampak dari bot.
“Pada awalnya arwah boleh berenang, tetapi selepas dua tiga minit dia tenggelam. Saya berusaha menyelamatkannya tetapi tidak terdaya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pontian di sini.
Tambahnya, arwah baru sahaja keluar Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, tiga minggu lalu akibat terjatuh motosikal
“Sebelum ini dia tidak pernah ikut saya turun ke laut, tetapi hari ini dia beria-ria nak ikut tangkap udang. Saya reda mungkin ini takdirnya dia mahu ‘pergi’,” ujarnya. -K! ONLINE