GUA MUSANG – Sebanyak 800 keluarga di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang berharap peruntukan RM30 juta untuk kemudahan internet di 40 kawasan perumahan dalam Bajet 2022 yang dibentangkan semalam mampu memberi manfaat kepada mereka.
Ini kerana, penduduk di kawasan tersebut berdepan masalah liputan internet dan telekomunikasi yang lemah sejak ia dibuka lima tahun lalu terutamanya di dalam rumah.
Masalah itu turut menyukarkan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) murid dan pelajar sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih setahun lalu.
Imam Masjid Al-Hidayah PPR Gua Musang, Mat Nawi Mohd. Noor, 60, berkata, penghuni PPR itu berharap dapat merasai manfaat peruntukan kemudahan internet.
Katanya, sebelum ini, mereka perlu menjelajah di setiap kawasan rumah untuk mencari liputan internet.
“Capaian internet yang lemah di dalam rumah sedikit sebanyak melunturkan semangat anak-anak yang masih bersekolah untuk mengikuti PdPR.
“Kadang-kala, kami perlu berada di luar rumah seperti di tepi pintu atau lorong kaki lima untuk mencari liputan yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.-K! ONLINE