PETALING JAYA – Penyanyi kontroversi Korea Selatan Choi Sung-bong akhirnya membuat pengakuan bahawa penyakit kansernya yang dihidapnya selama ini hanyalah satu penipuan.
Sehubungan itu, dia memohon maaf kepada peminatnya selepas penipuannya terbongkar baru-baru ini.
“Saya dengan ikhlas memohon maaf kerana menimbulkan kekecohan dan kekecewaan terhadap kontroversi menipu tentang penyakit kanser.
“Sejujurnya, saya tidak menghidapi sebarang kanser termasuk kanser kolon, prostat, tiriod, paru-paru, otak dan jantung. Sebaliknya, saya hanya menghidap masalah kemurungan dan post traumatic stress disorder (tekanan atau trauma selepas sesuatu kejadian),” katanya dalam laporan Xportsnews semalam.
Sung-bong, 31, bagaimanapun menjelaskan, dia sememangnya ikhlas untuk menyanyi dan menghiburkan orang ramai, namun berdepan dengan masalah kemurungan yang serius sehingga terpaksa mengambil ubat setiap hari.
Sedar dengan kesilapan besar yang dilakukan, Sung-bong akan meninggalkan bidang nyanyian dan berjanji mahu muhasabah diri menjadi lebih baik.
Justeru, Sung-bong kini bekerja di sebuah restoran dan berjanji untuk membayar kembali sumbangan yang diberi peminat dan orang ramai kepadanya.
“Sekarang saya bekerja di sebuah restoran kecil di luar bandar supaya saya boleh membayar semula wang sumbangan yang saya terima sebelum ini.
“Walaupun sedar mungkin akan mengambil masa, tetapi saya akan bekerja seumur hidup untuk membayar kembali wang tersebut dan akan muhasabah diri terhadap kesilapan menipu semua orang,” katanya.
Penyanyi yang bakatnya mula dikesan menerusi program Korea Got Talent pada 2011 sebelum ini mengundang simpati orang ramai apabila mendakwa menghidapi pelbagai penyakit kanser antaranya kanser hati, perut dan paru-paru ketika berusia 17 tahun.
Dia yang membesar di rumah anak yatim mengaku pulih daripada kanser selepas menerima rawatan. Namun, dalam sebuah program hiburan yang disiarkan pada Januari lalu, dia mendakwa kembali diserang penyakit kanser.
Hasil penipuan, Sung-bong meraih simpati ramai dan menerima derma daripada peminat, termasuklah memohon derma sebanyak AS$840,000 (RM3.4 juta) untuk pembikinan albumnya.
Penipuannya bagaimanapun terbongkar selepas wartawan Lee Jin-ho mengeluarkan sebuah video dalam YouTube mendakwa penyanyi itu memalsukan penyakit kanser. – K! ONLINE