KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pendaftaran automatik untuk pengundi berusia 18 tahun akan bermula pada Januari 2022.
Menurut beliau, ia susulan ketetapan Kabinet memutuskan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada September lalu yang memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.
“Kerajaan boleh merayu keputusan tersebut, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda Kabinet memutuskan kita tidak akan merayu keputusan mahkamah.
“Sebenarnya bukan itu sahaja. Bagi menunjukkan keyakinan kerajaan kepada kemampuan anak-anak muda dalam menentukan kepimpinan negara pada masa akan datang, dalam pindaan tersebut umur calon pilihan raya pun akan bermula dari 18 tahun ke atas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 yang diadakan di hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – K! ONLINE