KLANG – Tidak sampai seminggu lagi, Deepavali bakal disambut penganut Hindu, namun Little India di Jalan Tengku Kelana di sini, masih suram tanpa ramai pengunjung yang datang untuk membeli barangan persediaan bagi menyambut perayaan itu.
Rata-rata peniaga dan pengunjung yang ditemui mendakwa, situasi itu berlaku kerana orang ramai masih bimbang dengan jangkitan Covid-19 selain mengambil pendekatan berjimat cermat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi.
Seorang peniaga pakaian, K. Kogilasamy berkata, situasi pada kali ini tidak memihak kepada peniaga berbanding sebelum berlakunya pandemik Covid-19 di negara ini.
“Dahulu sebelum ada Covid-19, amat mudah bagi saya menjual pakaian seperti sari, dhoti dan achkan yang mencecah 200 helai sehari dalam tempoh seminggu sebelum Deepavali.
“Bagaimanapun, sekarang hendak jual 100 helai pakaian pun susah. Apa boleh buat, terpaksa terima hakikat majoriti rakyat Malaysia sedang berjimat cermat,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Nasib sama turut dialami seorang lagi peniaga, B. Balasingam, apabila bunga seperti orkid, melati putih, matahari yang dijualnya tidak mendapat sambutan.
“Saya harap situasi ini berubah pada esok (hari ini) dan Ahad ini dengan harapan banyak bunga dapat dijual,” katanya.
Seorang pengunjung dari Taman Sentosa, P. Sivasangami, 29, mengakui berasa takut berkunjung ke Little India kerana kes jangkitan Covid-19 masih lagi belum turun dengan ketara.
Bagaimanapun, dia terpaksa datang ke tempat beli-belah itu untuk membeli beberapa kelengkapan dan bahan makanan untuk menyambut Deepavali, Khamis depan.
“Namun, saya sentiasa mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama pemakaian pelitup muka dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman,” ujarnya. -K! ONLINE