PETALING JAYA – “Minta tolong Datuk Seri (Najib), kami mahu RM10,000 (pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).”
Itulah komen yang ditinggalkan seorang pengguna media sosial di akaun Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu memuat naik status mengenai maklum balas rakyat yang berasa kecewa dan tidak kurang yang berterima kasih berhubung pembentangan Bajet 2022 yang diumumkan semalam.
“Tengah hari atau petang Isnin ini free (lapang)? Saya akan berucap di Parlimen. Tak apa. Luahkan kat sini (ruangan komen Facebook) juga.
“Saya baca. Saya kumpul. Saya suarakan di Parlimen. Yang mana baik, kita sokong. Yang mana kurang, kita betulkan. Yang mana zalim, kita lawan,” jelas Najib.
Menjengah di ruangan komen, ternyata ramai yang meminta agar Najib mengetengahkan mengenai pengeluaran wang RM10,000 KWSP secara one-off.
“Kami mahu KWSP membenarkan pengeluaran i-Bunga RM10,000 ‘lump sum’ tanpa syarat,” kata Hussaini Amran.
“Datuk Seri Najib Razak tolong kami suarakan pengeluaran KWSP dan cadangan mengenai skim i-survive. Saya harap sangat (pembentangan) sebut mengenai cadangan ni tetapi tak dilaksanakan kerajaan Keluarga Malaysia.
“Bersuara Datuk Seri bagi pihak kami kerana hanya Datuk Seri sahaja yang faham dan sentiasa peka terhadap rakyat. Hutang kami masih banyak tertunggak,” jelas Mohd Nizam.
“M40 dipinggirkan, penjawat awam dapat one-off, swasta macam mana pula? Sekurang-kurangnya lulus i-Citra secara one-off. Kita tunggu DSN suarakan di Parlimen,” kata Muralitharan Ramachandran. – K! ONLINE.