fbpx

Konsep sesuai, kediaman tampak kemas berseri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TENANG dan selesa. Hanya itu yang mampu diungkapkan tatkala sorotan mata menjengah masuk ke dalam kediaman pasangan suami isteri Azrizal Mohamed Zin, 36, dan Rubita Hani Abd. Samad, 36, yang terletak di Bangi, Selangor ini.

Dari pandangan mata kasar, tata rias yang ditonjolkan mungkin kelihatan ringkas, namun begitu, pemilik berjaya menggarapnya dengan baik dan sempurna sehingga kediaman yang mempunyai tiga bilik tidur ini tampak begitu eksklusif dan mempunyai identiti yang tersendiri.

Berkongsi kepada K2, menurut Rubita Hani, kediaman jenis teres hibrid berkeluasan kira-kira 150 meter persegi ini mengetengahkan konsep farmhouse moden.

Rona hijau firus pada island di dapur menjadi tumpuan pada ruang tersebut.

“Saya suka melihat rancangan televisyen mengenai dekorasi dan renovasi kediaman di HGTV. Dari situ, saya mula mengumpul idea dan memilih untuk menerapkan elemen farmhouse dalam kediaman ini.

“Saya sukakan kediaman yang kemas dan tidak serabut. Justeru, setiap barang mesti ada tempat simpanan dan itulah yang menjadi keutamaan saya.

“Disebabkan itu juga, saya memilih untuk meletakkan kabinet terbina dalaman supaya dapat memberi impak kemas dan luas pada kediaman,” ujarnya.

Hani yang mengakui permainan warna juga memainkan peranan menjelaskan, dia dan suami menggunakan warna-warna tona tanah seperti krim, kelabu, coklat dan hijau untuk menyerikan lagi kediaman dihuni.

Susun atur ringkas dan padanan warna tanah wujudkan suasana malar segar.

Siapa sangka, rona-rona yang merupakan warna kegemarannya itu menjadi identiti kediaman dan begitu kena dengan konsep dekorasi yang dipilih.

Bukan sahaja nampak luas, gabungan warna tersebut berjaya mewujudkan sisi mewah dan suasana malar segar kepada sesiapa sahaja yang bertandang ke kediaman tersebut.

Tidak disarati dengan pelbagai aksesori, kabinet rona hijau firus, kelabu dan krim dengan potongan ala-ala moden serta farmhouse yang diletakkan pada sudut ruang tamu, ruang makan dan dapur sudah cukup menjadi pelengkap gaya kediaman Hani dan suami.

Jujur dikatakan, sukar untuk gambarkan perasaan ini tatkala melihat keseluruhan rumah ini.

Dalam kesederhanaan dekorasi yang digarap, namun Hani masih berjaya menyerlahkan segenap penjuru ruang di dalam rumah itu.

Benarlah seperti perumpamaan Inggeris yang mengatakan less is more. Bijak menyuai padan warna, konsep dan aksesori kediaman dengan penggayaan minimal pun sudah cukup membuatkan kediaman tampil hebat.

Kabinet terbina dalaman melatari ruang makan teres hibrid ini tampilkan identiti yang tersendiri.

“Saya sukakan aksesori yang unik dan pada masa sama mampu menyerlahkan konsep farmhouse moden.

“Biarpun begitu, gubahan bunga segar atau artifisial lebih menjadi pilihan hati kerana ia menaikkan seri,” ujarnya.

Bercerita lanjut menurut Hani, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan proses pengubahsuaian kediaman itu mengambil masa lapan bulan.

Biarpun daripada pandangan mata penulis, kediaman yang mempunyai tiga bilik tidur itu sudah cukup sempurna dan indah, namun Hani mengakui ia masih dalam proses pengubahsuaian.

Menariknya, wanita bekerjaya itu berjaya mengekalkan kekemasan kediamannya walaupun dia mempunyaidua anak yang sedang membesar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI