SEPANG – Perasaan syukur, gembira dan teruja dirasai sekumpulan 100 jemaah umrah di bawah kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. apabila berpeluang menunaikan ibadah tersebut selepas menunggu lebih setahun susulan pandemik Covid-19.
Kesemua jemaah tersebut termasuk empat mutawif adalah kumpulan ketiga daripada syarikat tersebut sekali gus terbesar berlepas ke Jeddah, Arab Saudi, semalam menerusi penerbangan Saudi Arabian Airlines pukul 7 malam serta akan pulang ke tanah air pada November ini.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, kumpulan jemaah tersebut tiba di Jeddah sebelum bergerak ke Madinah dan akan memasuki Mekah pada 4 November.
Menurutnya, segala persiapan berjalan dengan lancar dan walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ia tidak menjadi kekangan atau masalah kepada pengurusan jemaah umrah di bawah syarikat tersebut.
“Disebabkan pandemik Covid-19, segala persiapan kursus umrah kepada semua jemaah dibuat secara dalam talian. Kita turut berkomunikasi dengan pihak di sana bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Biarpun terdapat SOP, kita dapati perjalanan untuk menunaikan ibadah termasuk tawaf dan saie selain ke Raudhah dan makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, Madinah tidak menghadapi masalah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Ujarnya lagi, kapasiti yang dihadkan juga melancarkan lagi perjalanan menunaikan ibadah berikutan semua jemaah perlu mematuhi SOP ditetapkan dan ia sekali gus memudahkan mereka.
Tambah beliau, seramai 12,000 jemaah umrah sudah berdaftar dengan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. untuk menunaikan ibadah sebelum pandemik Covid-19 dan mereka diberi peluang dalam tempoh tiga tahun ini untuk melaksanakan ibadah tersebut. – K! ONLINE