PUTRAJAYA – Majikan swasta diharap dapat memberikan cuti tanpa rekod satu hari pada Jumaat depan kepada pekerjanya yang beragama Hindu sempena perayaan Deepavali sebagaimana dilaksanakan kerajaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau berharap majikan swasta dapat memperhalusi dan mempertimbangkan langkah tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah memberikan kemudahan cuti tanpa rekod selama satu hari kepada pegawai perkhidmatan awam beragama Hindu sempena perayaan Hari Deepavali.
“Cuti pada hari berikutnya menjadi tambahan kepada cuti umum Hari Deepavali yang telah berkuat kuasa sejak tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Saravanan berharap langkah sama dapat dilakukan oleh majikan swasta.
“Ini memandangkan selepas hari kedua perayaan Deepavali adalah hujung minggu dan ini akan memberikan lebih masa kepada pekerja untuk diluangkan bersama keluarga sempena sambutan perayaan itu,” katanya. – K! ONLINE