PETALING JAYA – Jika sebelum ini tular video lelaki berpakaian wanita membawa batu nisan dipercayai di Jalan Genting pada waktu malam, namun kali ini sekali lagi ‘entiti’ sama dikesan melakukan aksi terbabit.
Bezanya kali ini, ‘suspek’ muncul pada siang hari, namun lokasinya juga di sekitar Jalan Genting.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Info Kemalangan, Bencana dan Jenayah, kelihatan lelaki itu dilihat ‘menari’ bersama batu nisan di atas sebuah kereta.
Lebih mengerikan aksi tersebut dilakukan di atas sebuah ‘bangkai’ kereta yang terbakar akibat kemalangan jalan raya.
Tidak dapat dipastikan motif lelaki tersebut melakukan aksi itu dan perakam juga tidak menyatakan bila kejadian tersebut dirakam.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman sosial mengecam tindakan ‘entiti’ tersebut yang sekali lagi menghantui pengguna jalan raya dikawasan berkenaan.
“Dia buat hal lagi, dulu waktu malam, kali ini siang hari pula, adakah dia individu sama?,”soal Abdul Razak.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Abu Syam.
“Dahla bawa batu nisan duduk atas bangkai kereta terbakar, memang seramlah kalau lalu sorang-sorang boleh kemalangan akibat terkejut ini,”jelasnya.
Sebelum ini Kosmo! penampakan ‘hantu wanita’ membawa batu nisan dipercayai di Jalan Genting sehingga menganggu orang ramai akhirnya terbongkar.
Menerusi perkongsian video oleh Fareez Effizal di laman aplikasi TikTok, sekumpulan lelaki telah mendapat laporan dan membongkar identiti ‘hantu’ yang menganggu pengguna jalan raya di kawasan tersebut.
Berdasarkan video berdurasi tiga minit empat saat di TikTok itu, sekumpulan lelaki itu sedang mengejar ‘hantu’ itu sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran sehingga individu itu berhenti.
Ketika kejadian, ‘entiti’ itu merupakan seorang pemuda yang memegang batu nisan dan didakwa menuntut ilmu persilatan yang salah menyebabkan dia jatuh mengelupur apabila mendengar ayat suci Al-Quran.-K! ONLINE