MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan menggugurkan nama Kevin De Bruyne daripada skuad utama meskipun pemain tengah itu masih bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya.
De Bruyne, 30, beraksi hambar sewaktu tersingkir pada pusingan keempat Piala Liga England selepas tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti setelah seri tanpa jaringan dengan West Ham United kelmarin.
Bagaimanapun, Guardiola masih menaruh harapan tinggi terhadap arkitek bahagian tengahnya itu untuk menemui semula sentuhan terbaik sejak dilanda pelbagai kecederaan pada hujung musim lalu.
“Semua orang yang layak bermain akan mendapat peluang diturunkan dalam mana-mana perlawanan.
“Kevin (De Bruyne) baru sahaja sembuh daripada kecederaan serius dialaminya musim lalu. Anda jangan lupa dia bermain dengan sangat bagus ketika menentang Liverpool, Chelsea dan (Club) Brugge.
“Sekarang adalah fasa sukar buat dirinya tetapi dia akan kembali menemui tahap terbaiknya tidak lama lagi,” kata Guardiola.
City dijangka kembali menurunkan barisan terbaik termasuk De Bruyne untuk aksi Liga Perdana Inggeris seterusnya menentang pasukan pertengahan liga, Crystal Palace di Stadium Etihad malam ini.
Aksi terakhir EPL menyaksikan The Citizens berpesta gol membelasah Brighton 4-1 minggu lalu menerusi dua jaringan Phil Foden dan masing-masing satu daripada Ilkay Gundogan serta Riyad Mahrez. – AGENSI