KUALA LUMPUR – Tahap kesiagaan pasukan 10 Briged Para (10 Bgd Para) sebagai ketumbukan utama Tentera Darat dalam Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) diuji melalui pelaksanaan Eksesais (Eks) Gerak Pantas Siri 25/2021 di kawasan pantai Timur Semenanjung baru-baru ini.
Latihan simulasi perang itu berlangsung selama 10 hari berakhir Khamis lalu diketuai Panglima 10 Bgd Para, Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Tentera Darat menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi memberitahu, fokus utama eksesais adalah untuk menilai tahap kompetensi dan kesiagaan PAC mengikut fasa-fasa yang ditetapkan sehingga atur gerak taktikal.
Menurut paparan itu, tumpuan eksesais pada aturgerak 10 Bgd Para apabila digugurkan di belakang garisan musuh melibatkan penyusupan taktikal tim pandura, penerjunan tempur statik serta guguran kelengkapan logistik.
“Ketumbukan ini turut diaturgerak secara guguran udara dengan melibatkan aturgerak kenderaan dan aset persenjataan sepanjang eksesais berlangsung.
“Ia juga bertujuan menilai tahap kesiagaan operasi batalion-bataliuon yang terlibat benar-benar berada pada tahap tertinggi untuk diaturgerakkan pada bila-bila masa,” ujar paparan tersebut.
Latihan ini adalah sejajar dengan tonggak pertama perintah ulung Panglima Tentera Darat ke-28 iaitu kelangsungan misi dan kesiagaan dengan memberi penumpuan kepada peningkatan tahap kesiagaan, kompentensi dan aset Tentera Darat.-K! ONLINE