BELANJAWAN 2022 menyaksikan arena sukan negara terus mendapat manfaat apabila peruntukan berjumlah RM239 juta diumumkan oleh kerajaan dalam usaha memperkasakan bidang tersebut.
Antara yang diberi perhatian khusus adalah untuk memperkasakan program latihan atlet orang kelainan upaya (OKU) dalam usaha memburu kejayaan lebih besar pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Sebanyak RM10 juta diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha meningkatkan prestasi atlet para selain memiliki rancangan untuk mewujudkan Liga Sukan OKU.
“Lagu Negaraku yang berkumandang di bumi Tokyo sebelum ini menandakan kejayaan atlet para kita berjaya meraih pingat emas Sukan Paralimpik 2020.
“Tahniah diucapkan khusus buat Bonnie Bunyau, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly serta seluruh kontinjen negara,” kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam.
Zafrul turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pembangunan e-Sukan termasuk RM5 juta untuk Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.
“Industri e-Sukan kini menjadi fenomena baharu dalam kalangan anak muda dan prospek terbaik pembangunan sukan negara. Kerajaan bercadang berikan pengecualian cukai pendapatan ke atas hadiah wang kemenangan e-Sukan yang layak,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever serta penganjuran Hari Sukan Negara.
Bajet ini turut menyediakan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara termasuk pembinaan stadium di Bukit Merbau, Pasir Puteh, Kelantan.