SEJAK pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu, ramai yang hilang mata pencarian, perniagaan gulung tikar dan tidak kurang yang kehilangan orang tersayang lebih-lebih lagi ketua keluarga yang mencari nafkah.
Sejak itu, banyak peruntukan dan bantuan disalurkan kerajaan bagi membantu mereka yang terkesan termasuk secara one-off terutamanya buat golongan B40.
Justeru, Bajet 2022 yang diumumkan semalam memberikan harapan dan sinar baharu yang dinantikan-nantikan semua pihak untuk memulihkan kehidupan selepas ‘jatuh terduduk’ semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan banyak sektor ditutup serta menyebabkan ramai terpaksa memegang status penganggur.
Untuk rekod, sehingga Mei lalu, kadar pengangguran negara adalah 5.3 peratus melibatkan hampir 750,000 orang yang tidak mempunyai pendapatan untuk menyara keluarga seperti sebelum ini.
Jumlah ini amat membimbangkan dan mereka perlu dibantu segera untuk bangkit mengharungi kehidupan selepas lama terperuk di rumah ekoran PKP.
Pengumuman bajet bertemakan ‘Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera’ oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam membuktikan keprihatinan kerajaan membantu rakyat yang hilang kerja di musim pandemik.
Peruntukan sebanyak RM4.8 bilion menerusi Skim Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dibuat bersama jabatan dan pihak majikan memberi kelegaan apabila menyediakan 600,000 pekerjaan baharu.
Dalam pada itu, sektor ekonomi tidak dilupakan pada Bajet 2022 melibatkan semua pemain sama ada peniaga kecil, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat besar bagi membolehkan mereka bangkit semula selepas terjejas teruk.
Pakej pembiayaan sebanyak RM40 bilion melalui Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang menyediakan pinjaman langsung sudah pasti dapat memberi manfaat kepada semua usahawan berskala kecil hingga terbesar di negara ini.
Paling menarik adalah pembiayaan tanpa faedah untuk peniaga kecil yang ditawarkan sebanyak RM10,000 tanpa faedah sudah pasti memberi kelegaan kepada golongan berkenaan.
Di samping itu, institusi pendidikan tidak pernah dilupakan dengan beberapa insentif disediakan. Ini termasuk Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 membabitkan lebih 400,000 guru di seluruh negara.
Bantuan ini bertujuan untuk menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada pelajar semasa tempoh pandemik menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan setiap murid tidak tercicir daripada mendapat pendidikan formal.
Diharap dengan semua bantuan dan insentif ini, kita semua dapat bangkit dengan lebih ‘gagah’ dan terus memacu kecemerlangan dalam sektor yang diceburi. -K! ONLINE