PETALING JAYA – Bajet 2022 yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilihat sebagai mensejahterakan Keluarga Malaysia dalam proses pemulihan ekonomi negara.
Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, bajet kali ini berpaksikan beberapa matlamat seperti memulih kehidupan (Recovery), membina semula daya tahan (Resilience) dan memangkin pembaharuan (Reform).
Menurutnya, terdapat beberapa sektor yang mungkin boleh ditambah baik jika insentif diberikan dengan lebih lagi.
“Peruntukan RM40 bilion untuk geran, jaminan dan ekuiti kepada semua perniagaan hingga syarikat senaraian awam dilihat mungkin boleh menyokong pemulihan industri, namun sekiranya peruntukan itu lebih besar, maka pemulihan akan memberi implikasi yang lebih cepat di samping memberi tumpuan ke arah langkah produktif.
“Sementara itu, peruntukan RM60 juta bagi tujuan promosi dan pelancongan domestik dapat dibesarkan lagi selain RM600 juta untuk pembiayaan sektor pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, jika pengecualian cukai dapat diberikan kepada individu, kumpulan mahupun organisasi yang mahu menggunakan perkhidmatan dalam bagi industri acara pula, ia mampu menarik lebih banyak tarikan di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, pujian wajar diberikan apabila bajet kali ini dilihat menyantuni dan menghargai rakyat terutamanya jasa barisan hadapan.
“Peruntukan besar bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan adalah baik dalam mengimbangi semula segala yang terkesan akibat pandemik.
“Ia bersesuaian dengan tema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, diharapkan ianya dapat menyokong pemulihan negara kita yang tercinta ini,” ujarnya. – K! ONLINE