DILAHIRKAN dengan ketinggian luar biasa telah mengangkat nama Rumeysa Gelgi, 24, dari Turki sebagai wanita (masih hidup) paling tinggi di dunia, sekali gus merampas kedudukan itu daripada Yao Defen, seorang warganegara China.
Menurut Guinness World Records, Gelgi yang mempunyai ketinggian 215.16 sentimeter (sm) itu pernah memecah rekod remaja tertinggi yang masih hidup pada tahun 2014.
Ketinggian luar biasa wanita tersebut disebabkan dia dilahirkan dengan penyakit genetik jarang ditemui iaitu sindrom Weaver yang menjadikan tubuhnya begitu tinggi.
Sindrom Weaver mempercepatkan pertumbuhan seseorang dengan sangat pantas sehingga perkembangan tubuh berlaku secara abnormal.
Oleh kerana dilahirkan dengan penyakit ganjil berkenaan, wanita itu sering menjadi mangsa buli ketika zaman kanak-kanak, tetapi dia sangat bertuah kerana mendapat sokongan kuat daripada kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
Video mengenai ketinggian Gelgi yang luar biasa itu telah dimuat naik oleh Guinness World Records dan tular di media sosial sehingga mendapat tontonan sebanyak 3.8 juta.
“Berbeza bukanlah sesuatu yang buruk, sebaliknya ia boleh membuatkan anda mencapai perkara yang tidak pernah anda bayangkan sebelum ini,” tulis kapsyen di video tersebut.
Wanita itu menjadi penghidap pertama sindrom Weaver di Turki dan dia turut memberitahu, dilahirkan dengan beberapa penyakit serius lain seperti skoliosis.
Gelgi hanya berkerusi roda dan boleh berjalan untuk jarak sangat dekat menggunakan alat bantuan berjalan (walker).
Sehubungan itu, pengiktirafan tersebut sangat bermakna baginya dan bertekad menggunakan gelaran tersebut bagi meraikan perbezaan dan berbakti kepada masyarakat.
Sejak tahun 2014, Gelgi menggunakan pengiktirafan itu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, terutamanya berkaitan penyakit yang dihidapinya sejak lahir iaitu skoliosis dan sindrom Weaver.
“Saya secara peribadi berpendapat bahawa perbezaan dan ciri lain yang kelihatan seperti kelemahan boleh bertukar kepada kelebihan jika anda mahukannya dengan berusaha bersungguh-sungguh.
“Oleh itu, jangan berasa malu, terima diri seadanya, sedar potensi dan lakukan yang terbaik,” jelasnya sambil memberitahu kata-kata tersebut menjadi prinsip hidup yang dipegang teguh sejak sekian lama.
Ujar wanita itu lagi, ketinggian luar biasa yang dimilikinya sering menjadi perhatian umum ketika dia berada di jalanan, tetapi kebanyakan orang sangat baik dan menyokongnya walaupun pertama kali bertemu.
Pada masa lapang, Gelgi gemar keluar makan bersama keluarga.
Di samping itu, dia menyedari bahawa berenang sangat membantunya untuk berasa lebih relaks.
Dalam pada itu, pengiktirafan yang diterima Gelgi itu sangat menggembirakan keluarganya dan mereka berbangga dengan gelaran dunia yang diterima itu.
Gelgi mempunyai hati sangat mulia dengan menggunakan gelaran tersebut bukan hanya untuk membantu sesama manusia, tetapi juga menghulurkan bantuan kepada haiwan terbiar.
Ketika bergelar Remaja Tertinggi Dunia, Gelgi telah menjalankan kempen di media sosialnya untuk membantu haiwan jalanan dan terbiar menerusi platform Kirikkuyruk.
Biarpun sindrom Weaver menghalangnya untuk menyentuh haiwan jalanan kerana risiko terkena jangkitan membahayakan sistem imunisasinya yang lemah, tetapi itu bukanlah alasan untuk tidak membantu haiwan terbiar.
Menerusi kempen tersebut, Gelgi bersama rakan-rakan bekerja keras untuk mendapatkan dana makanan, tempat berlindung dan perkhidmatan kesihatan untuk haiwan-haiwan yang terbiar.
“Platform Kirikkuyruk digunakan untuk memenuhi keperluan haiwan terbiar.
“Ia adalah laman web untuk pencinta haiwan yang ingin membantu memberi kehidupan lebih baik kepada haiwan jalanan,” tuturnya.
Jelasnya lagi, orang ramai dapat membantu haiwan dengan pelbagai cara dan matlamat Kirikkuyruk bukan hanya memberi bantuan, tetapi juga untuk membuat pangkalan data bagi semua pencinta haiwan.
“Laman web itu menyediakan maklumat tentang doktor haiwan, kedai haiwan peliharaan dan majlis perbandaran yang mesra binatang terbiar,” kongsinya.
Selain itu, sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan bagi haiwan peliharaan mereka seperti makanan tambahan atau apa sahaja boleh membuat permohonan di laman web tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarang Guinness World Records, Craig Glenday berkata, adalah menjadi satu penghormatan untuk mengalu-alukan Gelgi bagi memegang rekod bagi kategori wanita dewasa tertinggi di dunia yang masih hidup.
“Semangat dan kebanggaannya untuk menonjol dalam khalayak ramai adalah sangat memberi inspirasi.
“Saya berasa teruja untuk berkongsi berita menggembirakan ini dengan seluruh dunia,” katanya.
Menariknya, secara kebetulan lelaki paling tinggi di dunia itu juga berasal dari Turki iaitu Sultan Kosen yang mempunyai ketinggian 251sm.
Ketinggian itu disebabkan tumor otak yang telah menjejaskan hypothalamus sehingga menyebabkan dia mempunyai ketinggian luar biasa.
Guinness World Records menyifatkannya sebagai ‘kejadian jarang berlaku’ dengan kedua-dua pemegang rekod lelaki dan wanita tertinggi dunia dipecahkan oleh orang dari negara sama.
Kebetulan luar biasa itu pernah berlaku pada 2009 apabila dua individu dari China iaitu Bao Xishun (236.1sm) dan Yao Defen (233.3sm) masing-masing memegang rekod untuk lelaki dan wanita paling tinggi di dunia.