fbpx

Sembilan suspek ditahan kes culik lelaki warga Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily (tengah) pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Sembilan suspek termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang lelaki warga Myanmar di hadapan sebuah kilang di Batu Kawan pada Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tujuh lelaki warga Myanmar bersama seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 21 hingga 48 ditahan secara berasingan di sekitar negeri ini serta Kedah sejak Isnin lalu sehingga semalam.

Katanya, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan memaklumkan pekerjanya yang berusia 26 tahun dilarikan dua lelaki dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva pada pukul 10.43 malam, Isnin lalu.

“Susulan laporan tersebut, polis menjalankan siasatan dan menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar, Sungai Petani pada Isnin.

“Kami menjalankan beberapa serbuan sebelum menahan sembilan suspek di sekitar Kedah serta Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas kereta Perodua Viva dan wang tunai sebanyak RM3,000 yang dipercayai dibayar oleh keluarga mangsa kepada kumpulan berkenaan bagi membebaskan lelaki tersebut.

“Tujuh lelaki warga Myanmar mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah dan kesemua mereka ditahan direman sehingga 31 Oktober ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 3 Akta Culik 1961,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI