LIVERPOOL – Liverpool bersedia menawarkan yuran lumayan tandatangan supaya Mohamed Salah bersetuju menandatangani kontrak lanjutan baharu dan bergelar penerima gaji termahal pasukan itu.
Buat masa ini, The Reds memahami kehendak Salah yang mahu menjadi penerima bayaran termahal sebelum bersetuju dengan perjanjian jangka masa panjang baharu sebelum kontraknya berakhir pada 2023.
Bagaimanapun, Liverpool enggan memecahkan struktur bayaran gaji pasukan dan mahu mempertimbangkan elemen yuran tandatangan sebagai salah satu cara memujuk Salah yang dilaporkan meminta gaji mingguan baharu £500,000 (RM2.85 juta).
Tonggak pertahanan Belanda, Virgil van Dijk ketika ini adalah penerima gaji termahal Liverpool dengan bayaran sebanyak £220,000 (RM1.25 juta) seminggu.
Pengurusan tertinggi Liverpool tentunya sedang mencari jalan untuk mendapatkan tandatangan Salah selepas mereka berjaya berunding dengan bintang-
bintang lain seperti Trent Alexander-Arnold, Fabinho, Alisson, Harvey Elliott dan Andrew Robertson.
Berdasarkan prestasi semasa, Salah sememangnya layak menerima gaji melebihi jumlah yang diterima Van Dijk kerana penyerang antarabangsa Mesir itu kini dianggap sebagai pemain terbaik dunia.
Ia terbukti menerusi kejayaannya meledak hatrik ketika membelasah Manchester United 5-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford minggu lalu.
Tidak mustahil Salah mampu mengulangi magisnya apabila skuad bimbingan Jurgen Klopp itu turun bertemu Brighton di Anfield malam esok. – AGENSI