RANTAU PANJANG – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 21 ekor anak anjing seludup dan menahan seorang lelaki yang membawa haiwan itu di Taman Permai, Gual Nering di sini semalam.
Kesemua haiwan bernilai RM168,000 itu dirampas selepas anggota PGA menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dipandu lelaki tersebut pada pukul 6.30 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggota PGA melihat sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan pangkalan haram Kubang Rambutan.
Menurutnya, pihak berkuasa cuba menahan pacuan empat roda itu, namun pemandunya mengubah haluan menghala ke Taman Permai, Gual Nering.
“Anggota PGA bagaimanapun dapat menjejak kenderaan itu sebelum menahan pemandunya yang berusia 30 tahun.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan sembilan sangkar yang mengandungi 21 anak anjing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE