fbpx

Orang muda mahu banyak peluang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

PETALING JAYA – Kadar pe­ngangguran yang meningkat susulan pandemik Covid-19 melanda di negara ini sejak kes pertama dilaporkan pada 25 Januari 2020 lalu terus menjadi faktor yang membimbangkan bagi ge­nerasi muda.

Susulan pembentangan Bajet 2022 yang akan dibentangkan hari ini, orang ramai memohon kerajaan mempertimbangkan aspek pengangguran di negara ini sebagai harapan terakhir bagi meneruskan kehidupan mereka.

Salah seorang penganggur, Nazmin Iryani Ismail, 28, berkata, dia diberhentikan kerja pada pertengahan tahun ini akibat majikan tidak mampu membayar gaji dan meneruskan perniagaan.

“Saya sebelum ini bekerja di bahagian akaun selama hampir tiga tahun di sebuah syarikat, namun susulan wabak Covid-19, syarikat tersebut terpaksa me­ngurangkan pekerja kerana menanggung kerugian setiap bulan.

“Saya sekarang sudah tidak bekerja sejak beberapa bulan lalu dan hampir setiap hari saya menghantar permohonan kerja, namun masih belum menerima sebarang panggilan temu duga.

“Saya sangat berharap kerajaan mempertimbangkan aspek pengangguran dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini kerana saya sudah buntu memikirkan cara melunaskan hutang seperti kereta, rumah dan bil utiliti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

 

Dalam pada itu, Norariza Abu, 25, berkata, dia berharap lebih banyak peluang pekerjaan disediakan bagi memastikan pe­nganggur dapat meneruskan kehidupan.

“Saya hanya mampu berharap kerajaan menitikberatkan soal pengangguran terutamanya membabitkan generasi muda kerana generasi ini yang akan memimpin negara satu hari nanti,” ujarnya.

Jabatan Perangkaan menerusi perangkaan Statistik Tenaga Buruh mencatatkan kadar pengangguran kembali meningkat kepada 778,200 orang berbanding 768,700 orang pada Jun lalu.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia juga menaruh harapan besar kepada kerajaan terutamanya membabitkan aspek kelangsungan hidup seperti harga bara­ngan dan kos sara hidup yang agak membebankan di ibu kota.

Seorang suri rumah, Siti Hajar Azman, 45, berkata, kehidupan ketika pandemik Covid-19 bagaikan satu ‘tamparan’ yang dirasai semakin bertambah dengan kos sara hidup serta harga keperluan asas yang tinggi.

“Saya percaya ramai ibu bapa di luar sana termasuk saya sendiri terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kehidupan dan ha­nya menggunakan duit bila perlu sahaja,” ujarnya.

Seorang pekerja swasta, Ahmad Hafiz, 33, berkata, salah satu aspek yang boleh ringankan beban rakyat dengan mencadang­kan pengecualian cukai terhadap barangan perubatan.

“Banyak kena beli ketika ini seperti pelitup muka, oximeter dan sebagainya,” ujar beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI