JAKARTA – Seorang wanita mendedahkan kisah perkahwinannya yang hanya mampu bertahan selama dua bulan selepas diceraikan suaminya dalam keadaan hamil, lapor laman berita Suara.com.
Menerusi klip video yang dimuat naik di TikTok itu, wanita tersebut dilihat memuat naik foto-foto perkahwinan bersama bekas suaminya.
“Nikah selama dua bulan, dapat apa? tulisnya pada keterangan video.
Kongsi wanita itu, sepanjang perkahwinannya itu, banyak perkara kurang menyenangkan berlaku kepadanya, lantas menyebabkan jiwanya tertekan.
Dia telah dipaksa oleh suaminya untuk berhenti belajar malah diceraikan lelaki itu hanya kerana mahu pulang ke rumah dan bertemu keluarganya.
Lebih menyedihkan, wanita itu yang kini sedang berbadan dua menyatakan bahawa suaminya tidak mengakui anak yang dikandungnya itu adalah anak hasil daripada perkahwinan mereka.
Netizen yang bersimpati dengan kisah wanita itu kemudiannya berkongsi reaksi menerusi ruangan komen, dengan rata-rata mengakui berasa ragu-ragu dan trauma untuk mendirikan perkahwinan.
“Saya jadi semakin takut untuk berkahwin,” demikian komen seorang netizen.
“Ketika berpacaran, semuanya adalah palsu, selepas berkahwin semua sifat sebenar akan mulai keluar,” demikian kongsi seorang netizen lain. – AGENSI