PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul meninggalkan Kementerian Kewangan kira-kira jam 3.10 petang tadi untuk menuju ke Parlimen bagi pembentangan Bajet 2022.
Tengku Zafrul yang segak dengan baju Melayu warna ‘peach’ dan bersamping terlebih dahulu mengaminkan doa yang dibaca Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan, Ustaz Mohamad Zukrillah Ismail di lobi kementerian.
Beliau turut dilihat memegang beg sampul hitam dengan tenunan emas yang mengandungi teks ucapan Belanjawan 2022.
Turut sama mengiringi beliau termasuk kedua-dua timbalannya, Mohd. Shahar Abdullah dan Yamani Hafez Musa yang juga berbaju Melayu.
Sebelum ini, Tengku Zafrul sebelum ini dilaporkan berkata, Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada strategi 3M iaitu Memulih Kehidupan, Membina Semula Daya Tahan dan Memangkin Pembaharuan.
Menurutnya, kerajaan akan terus komited membantu rakyat yang masih terjejas serta menyokong kelangsungan perniagaan dalam Belanjawan 2022. – K! ONLINE