PUTRAJAYA – Bajet 2022 yang dibentangkan hari ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memulihkan ekonomi dan membantu rakyat biarpun masih berdepan pelbagai cabaran, ketidaktentuan ekonomi dan krisis kesihatan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Beliau berkata, usaha juga terus ditingkatkan bagi merancakkan semula aktiviti perniagaan supaya momentum pertumbuhan ekonomi berada pada landasan positif.
“Insha-Allah, melalui pelbagai program dan agenda pemulihan yang dirancang, pertumbuhan ekonomi tahun 2022 dijangka lebih baik dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan antara 5.5 hingga 6.5 peratus.
“Justeru, saya berharap agar seluruh penjawat awam terus mendukung ikrar untuk sentiasa teguh melaksanakan tugas, beramanah, berintegriti dan penuh tanggungjawab.
“Bagi menjayakan strategi langkah Bajet 2022 dan perancangan dasar melalui pembentangan RMK-12, saya menyeru seluruh agensi kerajaan mengambil tindakan efisyen, pantas dan tepat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, tiada masa lagi untuk bertangguh dan memberi 1,001 alasan kerana setiap penjawat awam adalah tulang belakang bagi pentadbiran kerajaan.
Mohd. Zuki berkata, beliau mengajak seluruh anggota Perkhidmatan Awam untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan berganding bahu bagi membawa negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 dan memperteguhkan perpaduan. – K! ONLINE