PETALING JAYA – Pembentangan Bajet 2022 petang ini dijangka melibatkan peruntukan terbesar, sekitar RM350 bilion yang memfokuskan kepada pembangunan semula ekonomi dan memberi manfaat kepada setiap anggota Keluarga Malaysia.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bajet kali ini dijangka bersifat komprehensif dan kerajaan tidak akan mengehadkan sebarang perbelanjaan untuk membantu rakyat keluar daripada cabaran pandemik.
“Ia bakal menjadi bajet terbesar berdasarkan kemampuan kerajaan menambah hutang apabila had statutori hutang negara dinaikkan kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, manakala kenaikan harga minyak dan kelapa sawit meningkatkan keyakinan kerajaan untuk berbelanja.
“Saya berpendapat tiada golongan akan terpinggir dalam bajet kali ini dan kerajaan bakal meneruskan semua bantuan sebelum ini yang dirasakan masih perlu seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan Program Subsidi Upah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ahmed Razman menambah, selain membantu rakyat, satu lagi jangkaan pendekatan Bajet 2022 ialah memasukkan bibit-bibit asas untuk penjanaan hasil ekonomi baharu, termasuk melibatkan ekonomi gig, ekonomi digital dan industri kreatif bagi mempelbagaikan sumber hasil negara.
“Antaranya ialah bagaimana kita mahu mengindustrikan sektor sukan bagi menjana pendapatan untuk negara serta setiap kementerian perlu mencari ruang untuk menambah hasil negara melalui sektor ekonomi baharu.
“Kerajaan juga akan memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur secukupnya untuk pembangunan sumber ekonomi baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Afzanizam Abdul Rashid berkata, beliau menjangkakan kerajaan bakal meneruskan pemberian bantuan seperti wang tunai untuk golongan B40 dan M40, geran-geran perniagaan serta pembiayaan mikro untuk perusahaan.
Jelasnya, dari segi moratorium bayaran balik pinjaman bank, Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) oleh sektor perbankan, Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit yang diumumkan baru-baru ini seharusnya menjadi suatu bentuk kesinambungan bantuan buat mereka yang masih terkesan.
“Umumnya, pendekatan pada bajet kali ini akan mengambil kira pemulihan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan hasil daripada pembukaan ekonomi yang lebih tuntas,” katanya.