PETALING JAYA – Sebuah video yang memaparkan seorang wanita kelainan upaya kategori bisu dan pekak meluahkan kekecewaan terhadap restoran makanan segera terkenal tular di media sosial.
Menerusi video yang dikongsi di Twitter @dania_elanor itu, memaparkan wanita tersebut menceritakan pengalamannya ketika mahu membeli makanan di restoran berkenaan secara pandu lalu tetapi tidak berjaya.
Menerusi penjelasan di video tersebut katanya, semasa dia pergi ke restoran berkenaan, sebaik sahaja sampai di pembesar suara dan skrin paparan harga dia telah disapa oleh pekerja restoran tersebut bertanyakan pesanan yang mahu dibuat.
Bagaimanapun katanya, dia tidak dapat menjawab pertanyaan pekerja itu disebabkan dia bisu.
Namun katanya, berdasarkan pengalaman lalu, pekerja yang dikenalinya pernah memberitahu bahawa dia boleh terus membuat pesanan di skrin tersebut dengan cara menunjukkan gambar menu yang mahu dibeli atau tulis pesanannya di atas kertas.
“Tiba-tiba staff (kakitangan) lain suruh saya pergi kaunter di dalam restoran. Saya tanya kenapa tidak boleh buat pesanan di sini? Saya pekak, kena pesan di dalam? Mereka jawab ya.
“Buang masa saja saya lama siapkan tunjuk gambar menu dalam telefon bimbit saya. Tetapi, mereka suruh saya masuk juga ke dalam. Saya kecewa, hak saya diingkari buat kali kedua,” katanya.
Wanita yang kecewa itu bagaimanapun terus keluar daripada lorong pandu lalu itu dan membatalkan niatnya untuk membeli makanan di restoran berkenaan.
Di akhir video itu juga, wanita berkenaan meminta agar orang ramai tidak bertanya di cawangan manakah restoran yang dikunjunginya selain turut meminta agar pihak restoran berkenaan menaik taraf skrin paparan di laluan pandu lalu itu untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.
Susulan daripada tularnya video tersebut, pihak restoran berkenaan juga telah memberikan respon serta memohon maaf atas kejadian yang berlaku dan berjanji akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, orang ramai meluahkan rasa kecewa atas layanan yang diberikan terhadap OKU di negara ini dan mengharapkan agar syarikat-syarikat mengambil cakna tentang masalah pelanggan dan bersifat inklusif.
“Aku pernah juga jadi cashier drive thru (juruwang pandu lalu). Bila nak beli dekat drive thru skrin tu tak dengar suara dia, rupanya dia pekak dan bisu. Sampai dekat cashier dia tulis apa dia nak order (pesan). Aku key in (masukkan) terus order dan terus dia bayar sekali. Tiada masalah pun sebenarnya,” kongsi Kasha.
“Di pandu lalu pun tak ada notis golongan pekak bisu tidak boleh buat pesanan. Jadi, tanggungjawab syarikat kena pastikan kemudahan mereka lengkap. Negara luar dah banyak buat di skrin mereka juga kamera jadi pelanggan pekak dan bisu juga boleh buat pesanan. Malah ada yang melatih pekerja untuk berbahasa isyarat,” kata Rohayatie. – K! ONLINE