ALOR SETAR – Seorang tekong warga Thailand terpaksa menahan kesakitan apabila kaki kirinya cedera akibat terkena bilah kipas enjin bot nelayan kelas C di kedudukan enam batu nautika dari muara Kuala Kedah dekat sini semalam.
Mangsa, Saithongthae Sutham, 53, mengalami kecederaan itu ketika cuba melepaskan tali yang terbelit pada kipas enjin kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari pemilik bot, Thng Ian Wei sebelum mengarahkan bot Perkasa 1226 ke lokasi kejadian.
“Mangsa terus dibawa ke Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah sebelum dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE