fbpx

Restoran mamak bakal gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Pengusaha restoran mamak di seluruh negara­ kini tertekan dengan segelintir daripada mereka berisiko gulung tikar akibat kekurangan pekerja.

Ketika ini lebih 40 peratus pekerja asing melibatkan warga India, Bangladesh dan Indonesia telah pulang ke negara asal sejak tahun lalu.

Timbalan Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Harrisrajudin Alaudin berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada pengusaha premis mengenai isu kekurangan pekerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, masalah itu sema­kin meruncing kini dan ternyata menjejaskan operasi perniagaan restoran sehingga ada yang turut terpaksa menutup premis atau gulung tikar,” katanya selepas merasmikan bangunan Gemilang Occuhealth Sdn. Bhd. di sini semalam.

Jelas Harrisrajudin, jumlah kehadiran pelanggan restoran kini kembali meningkat sejak industri berkenaan dibenarkan beroperasi­ sepenuhnya.

“Namun, faktor kekurangan pekerja menyebabkan pengu­saha tidak dapat memberi perkhid­matan yang baik,” ujarnya.

Tambah beliau, restoran mamak masih memerlukan khid­mat pekerja asing berikutan warga­ tempatan kurang meminati pekerjaan itu.

“Minggu lalu, Persatuan Pe­ngusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengadakan sesi temu duga terbuka bagi mengisi kekosongan.

“Namun, sambutan warga tempatan amat mengecewakan walaupun ditawarkan gaji ­lumayan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau me­minta kerajaan mempertimbangkan kebenaran membawa masuk warga asing ke negara ini mengikut prosedur yang ditetapkan bagi menyelamatkan ekonomi sektor berkenaan.

“Keperluan tenaga kerja di sektor itu semakin mendesak dan mereka tidak mahu terus menanggung kerugian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI