fbpx

Pogba bertelagah dengan Solskjaer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POGBA dilayangkan kad merah selepas 15 minit dimasukkan sebagai pemain gantian ketika United dibelasah Liverpool 5-0 pada aksi EPL di Old Trafford Ahad lepas. – AGENSI

MANCHESTER – Bintang Manchester United, Paul Pogba dilaporkan bertelagah dengan Ole Gunnar Solskjaer hingga menjadi punca utama namanya tiada dalam kesebelasan utama ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool baru-baru ini.

Lebih mengecewakan apabila kemasukan Pogba di separuh masa kedua menjahanamkan lagi United apabila menerima kad merah pada minit ke-60 ketika dimalukan 0-5 oleh Liverpool dalam aksi di Old Trafford itu.

Difahamkan, Pogba, 28, memohon maaf kepada rakan-rakan sepasukannya sebab ­layangan kad merah itu tetapi tidak bercakap dengan Solskjaer berhubung situasi tersebut.

Perselisihan faham dengan Solksjaer menghangatkan lagi spekulasi mengenai masa depan pemain tengah Perancis itu memandangkan kontraknya juga akan tamat hujung musim ini.

Ejen Pogba iaitu Mino Raiola menjelaskan, United masih tidak melakukan apa-apa rundi­ngan untuk melanjutkan kontrak Pogba yang boleh mengadakan perbincangan dengan mana-mana pasukan pada Januari depan.

Jika Pogba gagal mencapai persetujuan berhubung kontrak lanjutan sebelum Januari depan, dia boleh menandatangani pra-kontrak dengan kelab-kelab dari luar England sebelum berhijrah secara percuma musim depan.

Buat masa ini, Pogba hangat dikaitkan dengan beberapa gergasi Eropah seperti Real Madrid, Barcelona, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG).

Sebagai rekod, Pogba menyertai United dengan rekod perpindahan termahal dunia pada ketika itu menerusi harga €105 juta (RM505.49 juta) beserta bonus €5 juta (RM24.07 juta) daripada Juventus lima tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI