MILAN – Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli memuji kecemerlangan prestasi para pemainnya selepas membuat permulaan terbaik mereka untuk saingan Serie A dalam tempoh 67 tahun.
Ia selepas The Rossonerri berjaya merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Torino di Stadium San Siro untuk melonjak ke kedudukan teratas Serie A selepas 10 perlawanan setakat ini.
Pioli, 56, ternyata gembira dengan sikap profesional ditunjukkan anak-anak buahnya biarpun terpaksa berdepan Torino yang merupakan perlawanan keempat mereka dalam tempoh 10 hari.
“Saya tidak mempunyai banyak pilihan untuk melakukan penggiliran pemain kerana ini adalah perlawanan keempat kami dalam tempoh 10 hari. Lagipun kami masih dilanda krisis kecederaan pemain.
“Torino adalah lawan yang sukar dan pemain juga mula menunjukkan tanda-tanda kepenatan tetapi saya gembira kerana kami berjaya mengatasinya.
“Saya amat menghargai kerja keras semua pihak terutama barisan pemain. Mereka memberikan segala-galanya kepada pasukan,” kata Pioli.
Penyerang veteran Perancis, Olivier Giroud muncul wira apabila meledak gol tunggal Milan pada minit ke-14 untuk menghadiahkan kemenangan kesembilan mereka dalam saingan Serie A musim ini.
Sebagai rekod, Milan masih belum tewas dalam 10 perlawanan pertama Serie A apabila merekodkan sembilan kemenangan dan satu seri yang mana kali terakhir mereka melakukannya pada edisi 1954/1955. – AGENSI